Friday, February 13, 2009

SEMBANG ZAMAN ROCK, TEATER DAN VOLKSWAGEN MERAH (SECARA RINGKAS, SEBAB HIDUP INI SINGKAT)


Pada episod kali ini, saya ingin membawa kalian jauh lebih dari zaman sekarang. Saya namakan Zaman Rock, Teater & Volkswagen Merah. Sori, saya terpaksa cakap ”aku” untuk melancarkan pembebelan ini. Bersama muzik intro (Loudness), terimalah;-

1987, zaman kegemilangan Rock, zaman Search, Ramli Sarip dan Blues Gang. Aku masih di bangku sekolah menengah. Pada ketika itu kumpulan teater juga tumbuh mekar bagai rerumpun di padang ragut. Kumpulan teater yang pertama aku sertai telah membawa aku mengenali erti pentas dan anak pentas. Tidak ada isu yang lebih penting untuk dibawa selain dari seni, seni dan seni. Seni aku pada masa itu terlalu luas, seperti lautan yang tidak bertepian; aku boleh melukis, berlakon (teater) dan aku mampu berpuisi. Aku nak jadi SENIMAN. Dasyatlah konon! Seniman pada umur 17 tahun. Oh ya, aku juga nak jadi Rockers, lalu segala ilmu chord dan bass didalami sedalam dalamnya hingga tertubuh kumpulan gitar kapok yang sering jamming dekat tembok tepi sekolah rendah. Ada masanya, dikejar oleh orang kampung kerana tak balik rumah pada waktu senja. Jujur aku kutu, aku pernah jadi kutu (bukan katak). Aku bangga pernah jadi kutu. Rokok sebatang boleh share seramai lima orang. Masa tu. Aku peduli apa, aku nak jadi macam Roger Glover (Deep Purple), John Taylor (Duran Duran) atau setidak tidaknya Steve Harris (Iron Maiden). Kebanyakkan konsert Rock & Blues di K.L. aku pergi, balik cerita kat orang kampung yang aku duduk depan stage. Kumpulan BlackFire dari Perlis juga aku minati pada masa itu selain SYJ Ipoh. Terliur tengok Julian (Blues Gang) goreng gitar depan mata aku. Peh! Dashyat! Filem ”ROCK” (Mamat Khalid) tu ada sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia. Aku ketawa melihat diri. Thanks Abg. Mat.

Namun cita cita nak jadi Rockers (Bass Guitarist) tidak kesampaian apabila ahli ahli band aku ada yang melanjutkan pelajaran, kerja gomen, buat bisnes dan ada yang masuk geng dakwah. Ditambah memang aku tak terrer jadi musician/ bassist. Aku masih tak insaf. Aku join pula Teater. Apa itu Teater? Berlakon. Aku nak jadi pelakon, pelakon pentas. Tapi glamour bukanlah ukuran. Aku nak berteater. Mendalami pula teater. Dah mula start menulis skrip teater. Di situ aku kenali siapa Dinsman, Hatta Azad Khan, Krishnen Jit, Shakespeare, Nordin Hassan, dan lain lain. Aku nak jadi penulis skrip teater... pulak dah! Aku masih nak jadi SENIMAN, dan harus simpan rambut panjang, misai dan janggut macam A. Samad Said, berjabang macam Dinsman, tapi tak nak handsome macam Hatta Azad Khan (walaupun meminati kesemua karya pentasnya), aku nak jadi Latiff Mohidin (yang lengkap segala seninya bagi aku). Di situ aku mengenali karya karya radikal yang terkandung unsur unsur eksistentialisma, patriotisma dan berbagai lagi. Aku juga nak jadi penulis puisi..pulak dah! Syukur, karya pentas pertama aku dipentaskan pada tahun 1988 di peringkat kampung je yang bertajuk ”Niman”, cerita seorang pelukis.. memang ada kaitan dengan hidup aku sebab aku memang pelukis sampai sekarang. Thanks Cikgu Shariff Shaary kerana bagi galakkan dan membancuh pemikiranku dengan fahaman Jean Paul Sartre dan Soren Keikergard.

Aku juga berpuisi di kampung dan K.L. Pernah menyertai himpunan penyair Malaysia tahun 1988 dan tengok Pyanhabib berpuisi kat Central Market. Aku masuk Institut pada tahun 1989 dan berlakon teater dalam KoKurikulum Kebudayaan. Masa terus berlalu, tanpa aku sedari. Berbagai pameran lukisan aku sertai di Utara Malaysia dan ibukota. Melukis memang ’niche’ aku sehingga kini. Pada masa yang sama lagu kumpulan Kopratasa iaitu ”Pelukis Pinggiran” masih berkumandang. Dengan rambut panjang, hanyir peluh aku melukis di jalanan Pulau Pinang di tepi pantai. Pelukis jalananlah konon, aku suka lifesytle yang begitu. Bebas, freedom and peace, macam hippies tahun 70an.

1992 - 1995, cerita panjang: aku kerja kat K.L & Brunei. Jadi photographer & graphic designer. Panjang sangat cerita tu. Ada yang sedih dan trajis. Terlalu cintan cintun. Tak payahlah, lagipun tak ROCK sangat!

Rock tetap Rock! Rambut panjang (tak lah panjang sangat, sering dimarahi bonda), namun aku masih boleh berlakon teater. Petang pergi lepak kat studio jamming (jadi pengikut/ sessionist je, band dah tak ada), malam pegi praktis teater. Sehinggalah aku dinobatkan sebagai pelakon teater terbaik pada tahun 1995 dan 1997 peringkat kampung. Dialog watak Adam (Bukan Bunuh Diri/ Dinsman) masih aku boleh hafal hingga sekarang. Jeng, jeng, jeng, pada tahun 1998, skrip teater aku dipentaskan di sebuah universiti di ibukota bertajuk ”2994 A.D.” dan mendapat skrip teater terbaik dengan hadiah RM 100.00 (banyaknya!).

Volkswagen merah (model tahun 1966). Oh ya, kereta pertama aku (1995 - 1997) dengan hanya harga RM 1500.00 dibeli untuk menjadi ”cult car” pada masa itu. Join kelab Volkswagen, habis beli buku pasal kereta tu, cat baru warna turbo red. Ke hulu hilir hingga tercabut tayar hadapan kerana tak pandai maintain. Habis berbelanja sampai RM 8000.00 modified kemudian dijual kembali dengan hanya RM 2000.00 pada seorang cikgu sekolah. Kereta itu juga menjadi nostalgia terindah bila berjumpa kekasih hati (sekarang bini aku). Terpaksa dijual kerana nak kahwin. Hehehe.

1999 - sekarang, cerita panjang: aku sambung study, study (belajar filem), sambung kerja, study, kerja, kerja. Terlalu ilmiah. Lain kalilah sembang.

The moral of the story; Hidup ini singkat, nak jadi macam macam, nak buat macam macam, sampai bidang aku pun banyak cabang. Nak cerita pun banyak, sampai tak tersusun. Haram tak glamour pun. Saja berkongsi pengalaman ngan kalian. Tak komen pun tak apa, tak ambik hatilah. Sekian.

Friday, February 6, 2009

CERITA KATAK KATAK LOMPAT

Kali ini saya ingin menjadi tukang karut/ tukang cerita:- cerita tentang katak katak. Ada dua kumpulan katak iaitu kumpulan katak A dan kumpulan katak B.

Pada suatu masa dahulu ada dua kumpulan katak. Satu kumpulan katak diketuai oleh katak lebam. Tersebutlah kisah, pada satu ketika, si katak lebam (ketua katak kumpulan A) cuba nak ajak sebahagian kumpulan katak B untuk join kumpulan katak A. Tujuan ini adalah untuk mendapatkan tanah jajahan yang besar supaya boleh jadi ketua katak katak semua kawasan. Berbagai usaha dibuat, ahli ahli kumpulan katak A ini kejar ketua ketua kumpulan katak katak B kemana saja sampai ke luar negara, tujuannya untuk mintak join kumpulan katak A.

Ketua kumpulan katak B tak setuju dengan cara lompat lompat ni, tapi dengan gahnya ketua kumpulan katak A (si katak lebam); dia kata itu adalah hak lompat dan boleh lompat ke kumpulan katak A kalau katak katak kumpulan B mahu. Ketua kumpulan katak B kata; mana boleh sebab rakyat katak katak pilih ketua ketua depa. Dengan confidentnya; katak lebam tak setuju; dia mahu ketua ketua kumpulan katak katak B lompat ke kumpulan katak A.

Harapan katak lebam adalah supaya dia kembali berkuasa untuk kepentingan seluruh masyarakat katak katak yang ada. Tiba satu ketika, jeng, jeng, jeng, empat ekor ketua katak katak dari kumpulan A telah mahu masuk kumpulan katak B. Apa lagi katak lebam pun melompat sampai ke negeri Perak nak protes kat kumpulan katak B dan kali ni dia pulak kata macam ketua kumpulan katak B; mana boleh, rakyat katak yang pilih. Aduh, pening.

So, the moral of the story; 2 x 5 itu 10 dan 5 x 2 itu juga adalah 10. He, he, he. The moral of the story lagi; lain kali jangan cakap dulu, fikir dahulu. Bezanya adalah kita manusia dan bukan katak. Oh ya, katak katak dalam cerita ni asalnya dari Malaysia dan bukan Amerika yang tak ada Raja. Oppsss.. sekian, wasalam. Saya suka jadi Melayu sebab dapat berkias kias.

Monday, February 2, 2009

SINKRONIS (2009): SEBUAH GUMPALAN NOIR SENI SEORANG JAJA KADIR.


Aku menilai sikronis bukan atas dasar ilmiah tetapi lebih kurang lebih dari itu. Dari seorang seni (bukan seniman) yang melihat jauh dari dalam diri kepada tatapan catatan ini. Sikronis tidak bisa aku kritik, tidak bisa aku kutuk, cuma bisa aku lirikkan, kerana aku melihat alunan mainan cahaya dan batin kamera yang jelas menampakkan gumpalan ekspressionis yang separa impressionis seorang pengkarya. Perakam gambar itu (pemain watak: Soffi), aku melihat seorang seniman yang setia kepada duka seorang gadis pada dirinya. Malah, gumpalan gumpalan noir yang terpamir sudah jelas memperjelaskan apa yang tidak jelas kepada penonton.

Aku degil menegur pemikiran ini kepada ilmiah tetapi tidak bertemu kerana karya ini ada seni yang disampaikan walau ceriteranya sedetik, cuma implikasinya ada pada sekelian mata yang melihat dan jiwa yang mencatat. Perakam gambar itu, seolah melarik berus seluliodnya atas dasar kekecewaan yang akhirnya mengheretnya dengan keranda luka. Tatkala perakam gambar itu mencari gadis, dia seolah hilang bersama gemawan silam yang masih menjadi sawang sawang ngeri hidupnya, dia hilang dalam kancah nestapa. Tari hiba berjiwa luka perakam gambar dan gadis menyayatkan jiwa seorang seni yang cuba menyelam ke lubuk visual mencari makna, merenung noir. Noir dalam sinkronis itu adalah jantung dan jiwa. Jantung dan jiwa itu dibelah menjadi pilu yang indah, amat mulus dengan luka yang sinkronis.

Aku tahu seorang Jaja dan seorang Hatta Azam cuba bermain cahaya kepada sekelian alam, aku kagum. Cahaya itu itu tidak sia sia, kerana cahaya itu cahaya bermakna kerana amat susah digambarkan dalam bahasa yang formal begitu juga dengan maknanya yang memaknakan sinkronis itu. Siapa kata ia tidak sinkronis, mungkin mata yang melihat belum berada dalam perahu jiwa yang penumpang penumpangnya adalah roh roh muda yang masih segar. Lantas aku melihat apa yang di-sinkroniskan; luahan firasat, duplikasi cahaya dan metafizika nestapa.

Sinkronis tidak ada referensinya, jauh sekali merenung formaliti. Sinkronis berjiwa bebas, tidak ada akar yang bertaut, sinkronis adalah karya duplikasi batin. Sinkronis tidak boleh disentuh oleh sentuhan formaliti dan teori. Sinkronis adalah aktiviti aktiviti ganas roh muda yang lembut gemalainya bermain cahaya lalu dikamarkan pada ruang sinema. Itulah implikasinya sinkronis, sebuah catatan perjalanan keranda duka seorang perakam gambar. Sesekali sinkronis ini membawa aku pada sketsa sketsa nostalgia yang tidak keterlaluan yang sedikit sebanyak menceriterakan tentang pelukis muda yang pernah berada di alam mimpi, seorang seni. Terimakasih, Jaja, Hatta Azam, Soffi, Norfazlina dan yang terlibat. Tahniah. Sinkronis adalah noir seni dan seni itu adalah bebas dalam sinkronis ini. Tahniah, sinkronis bebas dari ugutan formaliti kerana mempunyai tunjang maya.

Wednesday, December 31, 2008

JURUFOTO-JURUFOTO YANG KURANG AJAR & BIADAP: Satu Teguran Di Majlis Majlis.

Maafkan sekiranya tulisan saya kali ini agak kasar tajuknya. Tetapi itulah realitinya sesekali berkunjung ke majlis majlis perkahwinan, pertunangan dan sebarang acara yang diadakan samada oleh sahabat handai, saudara mara atau mana mana pihak.

Apa yang dapat dapat saya saksikan adalah ada sebilangan photographer yang tidak menghormati majlis. Pada majlis perkahwinan misalnya; ada photographer yang suka block pemandangan persandingan seolah seperti ”melangau” di hadapan pasangan pengantin yang bersanding dalam jangkamasa yang lama (hai maklumlah, Kamera Digital yang mampu isi beratus gambar). Terus terang saya katakan bahawa jenis photographer ini adalah dari golongan photographer MENTAH atau NAK TUNJUK TERRER. Secara jujurnya saya katakan bahawa jenis photographer ini juga adalah dari golongan yang tidak professional walaupun mempunyai LENS yang sebesar gajah sekali pun. Sekiranya kita tahu bahawa fungsi Lens (+ Zoom) adalah untuk mendapatkan imej yang lebih dekat dan bukan mendekatkan diri dengan pengantin hingga kita block pemandangan pelamin dan pasangan pengantin untuk para hadirin lihat. Semasa majlis majlis tersebut, saya hanya mengucap dan mengangguk anggukkan kepala. Kawan saya ada yang bertanya kenapa; saya menjawap ”hmm, nak menunjuk dia photographer la tu atau nak menghina majlis”, kemudian saya tambah ”kalau macam ni, aku sanggup ambik gambar free of charge dari sakit hati tengok depa MELANGAU LAMA depan pelamin tu.”

Saya pernah menghadiri majlis perkahwinan saudara saya; ada seorang jurufoto wanita yang memang BIADAP dan tak menghormati majlis kerana berpakaian ketat/ singkat dan menampakkan apa yang tak perlu saya sebut. Setiap kali dia bertinggung/ mencangkung memang terdedah sudut tubuh tersebut. Ini memang kurang ajar. Saya tanya saudara saya kenapa dia berpakaian begitu; saudara saya jawap bahawa photographer itu nak cepat dan ringkas kot. Itu bukan alasan, majlis tetap majlis, ditambah pulak ini adalah majlis suci, majlis Melayu, perlu bertata tertiblah bila berpakaian walaupun kita hanya sebagai jurufoto. Saudara saya kata lagi, semasa majlis akad nikah pun di masjid pun dia pakai macam tu. Saya hanya mengucap. Dalam hal ini, adakah photographer itu ingin dirinya dilihat atau memang dia biadap, kurang ajar atau maaf.. celaka betul. Memang saya marah, photographer tak tahu adat.

Seperkara lagi, dunia sekarang memang DIGITAL photography itu baik dan bagus, dan kerana inilah photographer yang kononnya professional ini asyik SNAP tak henti henti, flash mencurah curah.. sehingga mengganggu pengantin nak makan, ganggu orang nak berinteraksi, ganggu orang nak lihat. Memang memori kad yang lebih 8 gig itu mampu memuatkan beratus imej dan kerana ini juga membuatkan seseorang jurufoto itu tidak professional. Snap macam mesingan (M16 pun kalah!).. clik!clik!clik! sehingga tidak sedar bahawa tabiat tersebut mengganggu hadirin dan pengantin. Dalam hal ini saya tidak marah, tetapi ketawa dalam hati, alangkah tidak professionalnya photographer itu.

Kadang kadang, saya sudah muak dengan sikap golongan jurugambar yang sebegini, dah naik jemu, ”cemiuh” dan lali dengan sikap yang tak professional ini. Ingatlah kepada photographer-photographer yang dihormati, hormatilah majlis; pakailah pakaian yang sesuai (jangan pakai pakaian yang mengalahkan pengantin/ VIP pulak!), janganlah suka melangau, jangan tunjukkan diri yang kita ni photographer tetapi dungu, tolonglah faham kedudukan VIP pada majlis tersebut kerana ada yang dari golongan PERLU kita hormati dan yang paling penting hormatilah pengunjung atau hadirin. Jadilah seorang yang professional, jadilah jurufoto yang sentiasa alert dengan suasana. Sekian Wasalam. SELAMAT TAHUN BARU.

Wednesday, December 10, 2008

TRAGEDI TANAH RUNTUH Asal di Laut, Balik ke Laut, Asal di Darat, Balik ke Darat

Barangkali, kata kata di atas pernah kita dengar dalam mantra atau syair Melayu Lama. Itulah asas kepada coretan saya kali ini. Ini bukan soal filem, tetapi lebih dari; soal kemanusiaan dan alam. Tragedi Highland Tower masih saya ingat, ketika itu saya berumur 23 tahun (1993), dan kali ini peristiwa yang sama berulang lagi di Bukit Antarabangsa, pada bulan yang sama tahun yang berbeza; Disember 2008.

Mungkin alam sekarang sedang mengamuk, mencemuh atas perbuatan manusia sendiri yang sering menodainya dengan hanya memikirkan keuntungan dan kemewahan semata mata tanpa memikirkan impak pada alam. Alam ingin kembali kepada asalnya, dan ini memang terbukti dari segi kajian geografi. Buatan manusia tidak akan kekal, percayalah. Setelah menyaksikan sebuah rancangan bertajuk “Life After People” di History Channel, saya lebih memahami akan perubahan struktur mukabumi nanti dan dalam proses sekarang. Bumi akan kembali seperti asalnya. Itulah maksudnya “ Asal di Laut, Balik ke Laut, Asal di Darat, Balik ke Darat”, manusia terdahulu lebih arif memikirkannya.

Pepatah Melayu juga ada menyebut; “Air yang dicincang tidak akan putus”. Itulah juga membuatkan saya berfikir tentang sungai sungai yang telah ditimbus demi tujuan pembangunan, begitu juga halnya dengan tasik yang telah ditimbus. Adakah tasik tasik yang timbus juga akan kembali menjadi tasik pada suatu hari nanti. Lebih yang membimbangkan saya, terdapat juga projek perumahan di atasnya. Ternyata bahawa tragedi tanah runtuh juga berpunca dari sungai yang masih mengalir lesu di bawahnya.
Dari perspektif Islam; kita datang dari tanah dan kita akan kembali pada tanah. Mungkin Alam telah membuat satu protes bahawa; kembalilah manusia pada tanah, supaya bumi boleh kembali subur seperti dahulu, lalu ditimbusnya manusia hidup hidup untuk mengingatkan kita semua. Atau mungkin Alam mengajak kita kembali padanya yang PERNAH kita sayangi.

Friday, October 31, 2008

SELAMAT PAGI CINTA (2008) Arahan Norliana Samsudin @ Yana PEWARIS FILEM ROMANTIS MALAYSIA



Pada tanggal 25 September 2008 yang lalu, saya telah diberi peluang oleh pengarah termuda Malaysia iaitu Norliana Samsudin atau nama manjanya Yana untuk menonton filem pertama beliau iaitu Selamat Pagi Cinta (SPC) di The Mines. Saya dijemput dan dihantar pulang oleh pengarahnya sendiri, terima kasih Yana. Buat pertama kalinya, beliau telah menampakkan persediaan beliau untuk menjadi pengarah yang berkaliber di masa akan datang. Dalam usia yang masih muda (24 tahun) beliau telah berjaya menempatkan bersama pengarah pengarah lain di Malaysia.

Filem SPC secara tidak langsung telah meletakkan beliau seiring dengan pengarah pengarah yang lain seperti Yusof Haslam, Ahmad Idham, Osman Hafsham, Pierre Andre, Razak Mohaideen dan lain lain lagi yang hebat genrenya berkaitan dengan filem romantis. Sekali lagi Negara Malaysia akan terus menerima budaya atau warisan filem yang masih menyajikan persoalan cinta dan identiti filem yang sama iaitu romantis. Tahniah kepada Yana yang berkelulusan dari salah sebuah pusat pengajian tinggi perfileman meneruskan tradisi yang sama dan tidak menampakkan perbezaan dengan filem filem romantis yang lain. Mungkin ini adalah budaya filem romantis Malaysia, yang beridentiti.

Lakonan mantap yang harus diberi pujian adalah Syarifah Amani yang memegang watak ’Suci’. Lakonan Amani sangat berkesan dan begitu hidup dengan penghayatan watak beliau. Sungguh pun begitu lakonan Pierre Andre kelihatan tidak begitu meyakinkan dari segi penghayatan seorang lelaki yang berada dalam dilema, ditambah pula dengan slur beliau yang tidak pandai berdialog. Saya pun tidak faham kenapa Pierre diambil untuk melakonkan watak tersebut sedangkan kita masih punyai ramai pelakon lelaki yang berkebolehan iaitu Hans Isaac, Jehan Miskin, Ng Choo Seong (Jason/ Sepet), Adiputra, Razif Hashim (Goodbye Boys), yang saya rasakan lebih berbakat. Sebagai seorang yang pernah mendalami bidang lakonan secara asas dan formal, terus terang saya katakan bahawa Pierre Andre tidak mahir berlakon atau tidak layak untuk watak tersebut.

Apa yang dapat saya perhatikan bahawa filem ini adalah baik dari segi plottingnya; dua cerita yang diceritakan menjadi satu filem. Sungguhpun begitu, bila diperhatikan dari segi syot dan teknik pengambaran, saya meletakkan filem SPC setanding dengan drama-drama yang sering disiarkan di stesyen stesyen talivisyen tempatan. Tidak ada bezanya permainan syot/ teknik kamera SPC dengan drama TV. Mungkin pengarah banyak terpengaruh dengan drama TV bersama pengalamannya dahulu.

Selain dari itu, budaya ’enter-frame’ oleh pengarah sendiri (Yana) telah dilakukan dalam filem ini. Tidak ada salahnya, kerana pengarah terkenal Alfred Hitchcock sendiri telah melakukan sedemikian dalam filem filem beliau. Mungkin budaya ’enter-frame’ ini akan meringankan kos pelakon sekiranya difikirkan secara positif. Yana yang melakonkan watak komedi dalam filem ini berjaya menambat hati saya dengan lawak jenaka dan dialect/ slanga kedaerahan yang didialogkan. Tempelan Yana di dalam filem ini juga membuktikan bahawa beliau mampu membawa berbagai watak (walaupun saya tidak meminati lakokan beliau pada filem - filem/ drama yang lain). Watak komedi beliau ’hidup’ dan menghiburkan. Berkemungkinan, selepas ini Yana juga turut dicalonkan sebagai pelakon atau pelawak yang berkebolehan.

Sungguh pun begitu, pada pendapat saya; pengarah sepatutnya berada di belakang tabir untuk memudahkan perjalanan pengambaran. Pengarah adalah seperti seorang pelukis yang mewarnai kanvas dan bukan menjadi ’subject matter’ lukisan tersebut. Adalah lebih arif pengarah berada di belakang kamera, barulah sempurna syot, operasi pengambaran dan staging pelakon-pelakon. Penghayatan seorang pengarah berlaku di sebalik tabir dan bukan di hadapan tabir.

Secara jujur, SPC tidak setanding dengan filem filem Barat terutamanya filem filem Hollywood, Perancis dan British yang saya minati. Jauh panggang dari api SPC dengan filem filem “Nothing Hill”(1999) arahan Roger Michell, “Romance on The Orient Express” (1985) arahan Lawrence Gordon Clark “Before Sunrise” (1995) “Before Sunset“ (2004 ) arahan Richard Linklater, “When a Man Loves a Women” (1994) arahan Luis Mandoki, “You Got Mail” (1998) arahan Nora Ephron dan sebagainya yang saya anggap hebat. Tetapi cukuplah saya katakan bahawa SPC sama tarafnya dengan filem “Ali Setan”, “Azura”, “Tragedi Oktober”, “Hati bukan Kristal”, “Soal Hati” dan lain lagi keluaran filem romantis Malaysia. Harapan saya adalah SPC dapat menyamai “Sepet”, “Cinta” atau “Gubra” setidak tidaknya. Mungkin pengarah masih kurang pendedahan pada filem Barat atau filem filem Asia (+ Indonesia) yang bercorak romantis.

Mungkin, expectation saya terlalu tinggi pada filem SPC ini (dari pengarah yang berlulusan dalam bidang filem), namun Yana telah memilih jalan untuk setanding dengan Yusof Haslam dan pengarah pengarah lain (kecuali Yasmin Ahmad); mungkin pada masa akan datang Yana akan memilih jalan sendiri yang lebih mantap setanding dengan filem filem luar. Atau mungkin, saya lebih terpengaruh meminati corak persembahan filem-filem Barat tadi yang telah dinyatakan. Itu adalah hanya expectation saya, tidak lebih dari itu. Semoga pengarah SPC ini dapat memikirkan hal ini. Persembahan ’cinta’ tersebut haruslah memberi tusukan jiwa yang tidak diransang oleh tuntutan membuat filem sahaja tetapi lebih dari itu; iaitu unsur moraliti, kejujuran, kemanusiaan dan jalinan persahabatan antara manusia dalam penghayatan watak watak yang menjayakannya. Pengarah seharusnya menjiwai filem bukan sekadar membuat filem demi keuntungan penerbit sahaja. Filem adalah seni, dan seni adalah halus. Filem haruslah dihalusi sedalam dalamnya. Secara jujurnya, saya perhatikan penghayatan Yana sebagai pengarah masih lagi kurang, mungkin masih baru.

Walaupun SPC gagal memberi kepuasan pada saya, seharusnya kita menghormati filem filem Malaysia. Bukan mudah untuk membuat filem. Bukan murah untuk membuat filem. Sokonglah filem Malaysia, saksikanlah filem SPC di pawagam yang berdekatan (bahasa retorik). Hormatilah filem Malaysia. Semoga filem ini dapat memberi pulangan balik pada penerbit, insyaAllah. Tahniah Norliana Samsudin, anda berjaya menjadi pengarah dan mencatat sejarah dalam perfileman Malaysia. SPC adalah portfolio Yana.

Monday, June 23, 2008

FILEM: WAYANG (2008) Kesinambungan Pemikiran Eksperimentasi Hatta Azad Khan

Prof Dr Hatta Azad Khan telah menghasilkan sebuah filem yang bertajuk “Wayang” karya penulisan dan pengarahan beliau sendiri dengan bantuan dan kerjasama UiTM, Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah sebagai Produser. Filem ini adalah filem yang terbaik sepanjang karier beliau sebagai pengarah filem. Berbeza dengan filem pertama beliau, "Mat Som" (1990), filem ”Wayang” ini mempunyai mesej kemanusiaan yang begitu tinggi. Filem "Wayang" sesuai dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini. Filem ini dapat menyaksikan kesinambungan kesenian Melayu.

Secara berani, Dr Hatta telah menghasilkan filem ini. Beliau bersikap secara jujur bahawa tujuan filem ini dihasilkan bukanlah tujuan komersial semata-mata, tetapi untuk terus menyimpan/ membaik pulih dan meneruskan (preservation) kesenian tradisi. Menyentuh tentang tajuk yang saya utarakan di atas, saya telah meletakkan perkataan "eksperimentasi". Memang Hatta gemar bereksperimentasi. Percubaan pertama beliau adalah menggarapkan hasil karya Lat iaitu ”Mat Som” kepada filem. Ternyata, eksperimen Hatta tersebut telah diperjelaskan dalam filem itu. Tidak ada mana mana pihak sebelum ini yang berpemikiran sebegitu, tidak ada pengarah yang berfikir seperti Hatta; dari komik ke filem. Walaupun "Mat Som" tidak sehebat "Wayang", tetapi Hatta telah cukup matang dan berpengalaman dalam soal ber-eksperimentasi. Ini berlaku bukan sahaja di pentas tetapi juga di layar perak.

Hatta mengaum semula dengan lebih nyaring apabila terhasilnya "Wayang". Bila wayang kulit boleh dimainkan oleh DUA DALANG, maka di situlah EKSPERIMENTASI bermula. Pendekata, sebelum ini tidak ada manusia lain yang mampu berfikir seperti Hatta. Ini juga berbalik kepada persoalan kemanusiaan; sekiranya pepatah Inggeris menyatakan "Two Heads are Better than One", maka inilah terhasil dari pemikiran tersebut.

Secara falsafah; sekiranya kita bergabung dari kumpulan yang berbeza lalu menghasilkan sesuatu, maka hasilnya adalah jauh lebih baik dari seorang atau satu pihak sahaja. Secara tidak langsung "Teamwork" itu penting dalam menghasilkan yang terbaik. Penggunaan dua dalang yang dipaparkan dalam filem ini menampakkan bahawa Hatta cuba memecah ruang likup tradisi (breaking the tradition) dan secara terus menampakkan "thinking out of the box" itu sendiri.

Ekperimentasi lain dalam filem ini adalah; Hatta sanggup menerima risiko dan reaksi apabila filem ini ditayangkan nanti; iaitu penerimaan masyarakat Kelantan tentang Wayang Kulit yang selama ini telah disisihkan oleh pihak pemerintah Kelantan. Beliau mungkin mahu rakyat (& pemimpin) Kelantan menilai semula betapa UNIKnya wayang kulit dimainkan. Ini ditambah betapa uniknya apabila golongan muda yang memainkan wayang kulit dalam "teamwork" tersebut. Risiko dan reaksi inilah yang juga mungkin menjadi salah satu "research outcome" yang diharapkan oleh Hatta yang juga merupakan seorang Sarjana Seni atau Ahli Akademik dalam eksperimen ini.

Walaupun masih terdapat unsur unsur stereotype character (watak) tetapi apa yang diperjelaskan adalah mungkin realiti yang terdapat di Kelantan. Para golongan yang berjubah yang kononnya alim, masih meminggirkan kesenian Melayu Wayang Kulit. Ini mungkin terserlah dalam kepimpinan Kelantan itu sendiri. Hatta juga mungkin mengharapkan agar pihak kepimpinan Kelantan menilai semula penerimaan Wayang Kulit tersebut secara lebih terbuka. Barangkali, Hatta hanya sekadar memberi pendapat melalui karyanya. Pada pendapat saya pula, tidak ada salahnya sekiranya kita menerima kesenian ini semula dari melihat remaja dan golongan muda melakukan aktiviti yang kurang sihat. Kesenian tersebut adalah kesenian orang Melayu untuk masyarakat Malaysia, apa salahnya.

Hatta juga melihat prospek dan masa depan wayang kulit itu sendiri. Ini adalah kerana kebanyakkan anak anak muda lebih terpengaruh dengan budaya Barat dari budaya sendiri. Filem ini mempopularkan semula wayang kulit ditambah dengan meletakkan golongan muda sebagai dalang. Jelas bahawa Hatta adalah seorang EXPERIMENTALIST.

"Dalang" dalam erti kata lain adalah Hatta sendiri yang merupakan dalang yang bereksperimen dalam panggungnya (layar perak) mengenai dalang dalang. Beliau mewujudkan tiga dalang; seorang adalah dalang tua Pak Awang (Eman Manan), dalang lelaki muda Awi (Zul Huzaimy) dan dalang perempuan Melor (Mas Muharni). Tidak pernah wujudnya sebelum ini yang pernah saya saksikan adanya DALANG PEREMPUAN. Inilah kali pertama, dipertontonkan akan kewujudan dalang perempuan. Jelas sekali lagi EKPERIMENTASI tersebut terhasil. "Breaking the tradition" muncul lagi dengan situasi tersebut. Saya tergamam dan kagum atas eksperimen Hatta.

Dalam filem tersebut, Hatta juga memperjelaskan betapa pentingnya UiTM sebagai pemupuk kesenian Melayu. Sekiranya filem ini dimainkan di luar negeri, UiTM (Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik @ FACT) akan dirujuk sebagai penyimpan data tentang wayang kulit dan kesenian Melayu terutamanya. UiTM akan menjadi pakar rujuk yang terulung.

Sebagai mengakhiri coretan yang serba ringkas dan kurang ini, saya mengharapkan agar ramai yang akan menonton filem ini demi menghormati warisan keseniaan tradisi Melayu dan Malaysia. Lihat dan saksikanlah eksperimen Hatta (bukan filem eksperimen tetapi eksperimen dalam filem). Tidak perlu saya ceritakan secara mendalam mengenai filem ini kerana saya bimbang ianya akan menjadi spoiler terhadap penontonan kalian semua. Memang setiap filem itu ada pro dan cons yang tersendiri. Secara jujur, dalam filem ini masih terdapat unsur unsur komedi yang juga menjadi trademark Hatta semenjak dahulu dan amat menghiburkan. Terpulanglah sekiranya anda menilai filem ini sebagai hiburan atau sebagai sebuah pemikiran, kedua-duanya ada di dalam filem ini. Sokonglah filem kita. Saksikanlah “Wayang” karya Hatta Azad Khan.