Thursday, February 26, 2009

SCREEN TALK SRI LANKAN CINEMA

Foto semasa SCREEN TALK SRI LANKAN CINEMA






25 hb Februari 2009


Suasana yang amat Tenang..tenang.....ketenangan itu.

Friday, February 20, 2009

IBRAHIM DALAM KENANGANKU


"To me, painting is like praying. When I paint, I am dealing with my heart, my work and God. There is deep joy and gratitude. Each piece frames a moment in my life."
(IBRAHIM HUSSEIN, painter/ artist)

“Beside the dark cloud, there is always a silver lining”
(IBRAHIM SAAD wrote to Aidi Rahimi in Brunei 1992)

Kebetulan nama IBRAHIM itu adalah nama bapaku, kebetulan warna kulitnya hampir sama dengan ayahku, kebetulan senyumnya hampir sama dengan ayahku, kebetulan umurnya hampir sama dengan ayahku (ayahku = b. 1937, Ibrahim Hussein = b. 1936), kebetulan dia (Ibrahim Hussein @ Ib) pernah menjadi inspirasiku untuk melukis, kebetulan ayahku juga boleh melukis, kebetulan bentuk muka mereka hampir sama, kebetulan ayahku dan dia dilahirkan di Kedah, kebetulan aku dilahirkan di Kedah, kebetulan pulau kegemaranku adalah Langkawi dan Galerinya di Langkawi, kebetulan dia meninggal dunia hampir setahun setelah ayahku meninggal dunia. Kebetulan ayahku pernah sampai ke kota London begitu juga dengan Ibrahim Hussein, kebetulan semalam aku update status aku dlm FaceBook: Aidi bin Ibrahim, Aidi Ibrahim. Kebetulan setelah selesai mandi semalam, BRTV memaklumkan kematiannya, aku tergamam. Kebetulan itu juga aku memandang potret ayahku bersebelahan peti TV. Aku bertafakur. Al-Fatihah, buat Ibrahim dan Ibrahim.

Tahun 1988, aku tidak dapat melupakan pertama kali melihat lukisannya “My Father & The Astronaut”. Secara live, karya agung itu berada di hadapan mataku, di Galeri Balai Senilukis Negara, K.L. Kerana inspirasi inilah aku cuba memahami karya agung tersebut. Kenapa dikonflikkan antara dua subject matter yang terkandung dalam karya itu. Kenapa ada gambar FATHER tersebut? Aku mula berfikir tentang banding beza budaya, peradaban dan Melayu. Pemikiran metafora Melayu. Hanya dengan sekeping lukisan karya Ibrahim Hussein @ Ib. Timbullah di situ aku sudah mula berbicara tentang lukisan, tentang conceptual art, impressionist, surealism dsb. bermula dengan sekeping lukisan Ibrahim Hussein. Terima kasih Ibrahim Hussein.

Tahun 1989, ayahku telah memberikan aku sebuah kamera dari jenama PRAKTIKA LTL buatan German. Ayahku juga seorang jurufoto, selain dari menjadi guru. Aku mula berjinak jinak dengan fotografi. Memahami tentang depth dan sebagainya. Di situ juga aku berfikir tentang visual, mainan cahaya dan implikasi visual fotografi. Memahami peranan foto kepada masyarakat dsb. Hanya dengan sebuah kamera aku mula melangkah memahami visual. Terima kasih ayah.

Bezanya, Ibrahim Hussein terkenal serata dunia dan ayahku dikenali hanya di peringkat negeri. InsyaAllah, selepas ini akan aku ilmiahkan Retrospektif Ibrahim Saad dalam Fotografi. Kedua dua mempunyai pemikiran visual. Namun aku kemurungan, aku sedih kerana belum sempat aku berjumpa Ibrahim Hussein, beliau telah kembali ke Rohmatullah, belum sempat aku membuktikan pameran seni solo-ku, Ibrahim Saad telah kembali ke Rohmatullah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Sama kita doakan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.


Ibrahim Hussein (1936 - 2009)
Ibrahim Saad (1937 - 2008)

Friday, February 13, 2009

SEMBANG ZAMAN ROCK, TEATER DAN VOLKSWAGEN MERAH (SECARA RINGKAS, SEBAB HIDUP INI SINGKAT)


Pada episod kali ini, saya ingin membawa kalian jauh lebih dari zaman sekarang. Saya namakan Zaman Rock, Teater & Volkswagen Merah. Sori, saya terpaksa cakap ”aku” untuk melancarkan pembebelan ini. Bersama muzik intro (Loudness), terimalah;-

1987, zaman kegemilangan Rock, zaman Search, Ramli Sarip dan Blues Gang. Aku masih di bangku sekolah menengah. Pada ketika itu kumpulan teater juga tumbuh mekar bagai rerumpun di padang ragut. Kumpulan teater yang pertama aku sertai telah membawa aku mengenali erti pentas dan anak pentas. Tidak ada isu yang lebih penting untuk dibawa selain dari seni, seni dan seni. Seni aku pada masa itu terlalu luas, seperti lautan yang tidak bertepian; aku boleh melukis, berlakon (teater) dan aku mampu berpuisi. Aku nak jadi SENIMAN. Dasyatlah konon! Seniman pada umur 17 tahun. Oh ya, aku juga nak jadi Rockers, lalu segala ilmu chord dan bass didalami sedalam dalamnya hingga tertubuh kumpulan gitar kapok yang sering jamming dekat tembok tepi sekolah rendah. Ada masanya, dikejar oleh orang kampung kerana tak balik rumah pada waktu senja. Jujur aku kutu, aku pernah jadi kutu (bukan katak). Aku bangga pernah jadi kutu. Rokok sebatang boleh share seramai lima orang. Masa tu. Aku peduli apa, aku nak jadi macam Roger Glover (Deep Purple), John Taylor (Duran Duran) atau setidak tidaknya Steve Harris (Iron Maiden). Kebanyakkan konsert Rock & Blues di K.L. aku pergi, balik cerita kat orang kampung yang aku duduk depan stage. Kumpulan BlackFire dari Perlis juga aku minati pada masa itu selain SYJ Ipoh. Terliur tengok Julian (Blues Gang) goreng gitar depan mata aku. Peh! Dashyat! Filem ”ROCK” (Mamat Khalid) tu ada sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia. Aku ketawa melihat diri. Thanks Abg. Mat.

Namun cita cita nak jadi Rockers (Bass Guitarist) tidak kesampaian apabila ahli ahli band aku ada yang melanjutkan pelajaran, kerja gomen, buat bisnes dan ada yang masuk geng dakwah. Ditambah memang aku tak terrer jadi musician/ bassist. Aku masih tak insaf. Aku join pula Teater. Apa itu Teater? Berlakon. Aku nak jadi pelakon, pelakon pentas. Tapi glamour bukanlah ukuran. Aku nak berteater. Mendalami pula teater. Dah mula start menulis skrip teater. Di situ aku kenali siapa Dinsman, Hatta Azad Khan, Krishnen Jit, Shakespeare, Nordin Hassan, dan lain lain. Aku nak jadi penulis skrip teater... pulak dah! Aku masih nak jadi SENIMAN, dan harus simpan rambut panjang, misai dan janggut macam A. Samad Said, berjabang macam Dinsman, tapi tak nak handsome macam Hatta Azad Khan (walaupun meminati kesemua karya pentasnya), aku nak jadi Latiff Mohidin (yang lengkap segala seninya bagi aku). Di situ aku mengenali karya karya radikal yang terkandung unsur unsur eksistentialisma, patriotisma dan berbagai lagi. Aku juga nak jadi penulis puisi..pulak dah! Syukur, karya pentas pertama aku dipentaskan pada tahun 1988 di peringkat kampung je yang bertajuk ”Niman”, cerita seorang pelukis.. memang ada kaitan dengan hidup aku sebab aku memang pelukis sampai sekarang. Thanks Cikgu Shariff Shaary kerana bagi galakkan dan membancuh pemikiranku dengan fahaman Jean Paul Sartre dan Soren Keikergard.

Aku juga berpuisi di kampung dan K.L. Pernah menyertai himpunan penyair Malaysia tahun 1988 dan tengok Pyanhabib berpuisi kat Central Market. Aku masuk Institut pada tahun 1989 dan berlakon teater dalam KoKurikulum Kebudayaan. Masa terus berlalu, tanpa aku sedari. Berbagai pameran lukisan aku sertai di Utara Malaysia dan ibukota. Melukis memang ’niche’ aku sehingga kini. Pada masa yang sama lagu kumpulan Kopratasa iaitu ”Pelukis Pinggiran” masih berkumandang. Dengan rambut panjang, hanyir peluh aku melukis di jalanan Pulau Pinang di tepi pantai. Pelukis jalananlah konon, aku suka lifesytle yang begitu. Bebas, freedom and peace, macam hippies tahun 70an.

1992 - 1995, cerita panjang: aku kerja kat K.L & Brunei. Jadi photographer & graphic designer. Panjang sangat cerita tu. Ada yang sedih dan trajis. Terlalu cintan cintun. Tak payahlah, lagipun tak ROCK sangat!

Rock tetap Rock! Rambut panjang (tak lah panjang sangat, sering dimarahi bonda), namun aku masih boleh berlakon teater. Petang pergi lepak kat studio jamming (jadi pengikut/ sessionist je, band dah tak ada), malam pegi praktis teater. Sehinggalah aku dinobatkan sebagai pelakon teater terbaik pada tahun 1995 dan 1997 peringkat kampung. Dialog watak Adam (Bukan Bunuh Diri/ Dinsman) masih aku boleh hafal hingga sekarang. Jeng, jeng, jeng, pada tahun 1998, skrip teater aku dipentaskan di sebuah universiti di ibukota bertajuk ”2994 A.D.” dan mendapat skrip teater terbaik dengan hadiah RM 100.00 (banyaknya!).

Volkswagen merah (model tahun 1966). Oh ya, kereta pertama aku (1995 - 1997) dengan hanya harga RM 1500.00 dibeli untuk menjadi ”cult car” pada masa itu. Join kelab Volkswagen, habis beli buku pasal kereta tu, cat baru warna turbo red. Ke hulu hilir hingga tercabut tayar hadapan kerana tak pandai maintain. Habis berbelanja sampai RM 8000.00 modified kemudian dijual kembali dengan hanya RM 2000.00 pada seorang cikgu sekolah. Kereta itu juga menjadi nostalgia terindah bila berjumpa kekasih hati (sekarang bini aku). Terpaksa dijual kerana nak kahwin. Hehehe.

1999 - sekarang, cerita panjang: aku sambung study, study (belajar filem), sambung kerja, study, kerja, kerja. Terlalu ilmiah. Lain kalilah sembang.

The moral of the story; Hidup ini singkat, nak jadi macam macam, nak buat macam macam, sampai bidang aku pun banyak cabang. Nak cerita pun banyak, sampai tak tersusun. Haram tak glamour pun. Saja berkongsi pengalaman ngan kalian. Tak komen pun tak apa, tak ambik hatilah. Sekian.

Friday, February 6, 2009

CERITA KATAK KATAK LOMPAT

Kali ini saya ingin menjadi tukang karut/ tukang cerita:- cerita tentang katak katak. Ada dua kumpulan katak iaitu kumpulan katak A dan kumpulan katak B.

Pada suatu masa dahulu ada dua kumpulan katak. Satu kumpulan katak diketuai oleh katak lebam. Tersebutlah kisah, pada satu ketika, si katak lebam (ketua katak kumpulan A) cuba nak ajak sebahagian kumpulan katak B untuk join kumpulan katak A. Tujuan ini adalah untuk mendapatkan tanah jajahan yang besar supaya boleh jadi ketua katak katak semua kawasan. Berbagai usaha dibuat, ahli ahli kumpulan katak A ini kejar ketua ketua kumpulan katak katak B kemana saja sampai ke luar negara, tujuannya untuk mintak join kumpulan katak A.

Ketua kumpulan katak B tak setuju dengan cara lompat lompat ni, tapi dengan gahnya ketua kumpulan katak A (si katak lebam); dia kata itu adalah hak lompat dan boleh lompat ke kumpulan katak A kalau katak katak kumpulan B mahu. Ketua kumpulan katak B kata; mana boleh sebab rakyat katak katak pilih ketua ketua depa. Dengan confidentnya; katak lebam tak setuju; dia mahu ketua ketua kumpulan katak katak B lompat ke kumpulan katak A.

Harapan katak lebam adalah supaya dia kembali berkuasa untuk kepentingan seluruh masyarakat katak katak yang ada. Tiba satu ketika, jeng, jeng, jeng, empat ekor ketua katak katak dari kumpulan A telah mahu masuk kumpulan katak B. Apa lagi katak lebam pun melompat sampai ke negeri Perak nak protes kat kumpulan katak B dan kali ni dia pulak kata macam ketua kumpulan katak B; mana boleh, rakyat katak yang pilih. Aduh, pening.

So, the moral of the story; 2 x 5 itu 10 dan 5 x 2 itu juga adalah 10. He, he, he. The moral of the story lagi; lain kali jangan cakap dulu, fikir dahulu. Bezanya adalah kita manusia dan bukan katak. Oh ya, katak katak dalam cerita ni asalnya dari Malaysia dan bukan Amerika yang tak ada Raja. Oppsss.. sekian, wasalam. Saya suka jadi Melayu sebab dapat berkias kias.

Monday, February 2, 2009

SINKRONIS (2009): SEBUAH GUMPALAN NOIR SENI SEORANG JAJA KADIR.


Aku menilai sikronis bukan atas dasar ilmiah tetapi lebih kurang lebih dari itu. Dari seorang seni (bukan seniman) yang melihat jauh dari dalam diri kepada tatapan catatan ini. Sikronis tidak bisa aku kritik, tidak bisa aku kutuk, cuma bisa aku lirikkan, kerana aku melihat alunan mainan cahaya dan batin kamera yang jelas menampakkan gumpalan ekspressionis yang separa impressionis seorang pengkarya. Perakam gambar itu (pemain watak: Soffi), aku melihat seorang seniman yang setia kepada duka seorang gadis pada dirinya. Malah, gumpalan gumpalan noir yang terpamir sudah jelas memperjelaskan apa yang tidak jelas kepada penonton.

Aku degil menegur pemikiran ini kepada ilmiah tetapi tidak bertemu kerana karya ini ada seni yang disampaikan walau ceriteranya sedetik, cuma implikasinya ada pada sekelian mata yang melihat dan jiwa yang mencatat. Perakam gambar itu, seolah melarik berus seluliodnya atas dasar kekecewaan yang akhirnya mengheretnya dengan keranda luka. Tatkala perakam gambar itu mencari gadis, dia seolah hilang bersama gemawan silam yang masih menjadi sawang sawang ngeri hidupnya, dia hilang dalam kancah nestapa. Tari hiba berjiwa luka perakam gambar dan gadis menyayatkan jiwa seorang seni yang cuba menyelam ke lubuk visual mencari makna, merenung noir. Noir dalam sinkronis itu adalah jantung dan jiwa. Jantung dan jiwa itu dibelah menjadi pilu yang indah, amat mulus dengan luka yang sinkronis.

Aku tahu seorang Jaja dan seorang Hatta Azam cuba bermain cahaya kepada sekelian alam, aku kagum. Cahaya itu itu tidak sia sia, kerana cahaya itu cahaya bermakna kerana amat susah digambarkan dalam bahasa yang formal begitu juga dengan maknanya yang memaknakan sinkronis itu. Siapa kata ia tidak sinkronis, mungkin mata yang melihat belum berada dalam perahu jiwa yang penumpang penumpangnya adalah roh roh muda yang masih segar. Lantas aku melihat apa yang di-sinkroniskan; luahan firasat, duplikasi cahaya dan metafizika nestapa.

Sinkronis tidak ada referensinya, jauh sekali merenung formaliti. Sinkronis berjiwa bebas, tidak ada akar yang bertaut, sinkronis adalah karya duplikasi batin. Sinkronis tidak boleh disentuh oleh sentuhan formaliti dan teori. Sinkronis adalah aktiviti aktiviti ganas roh muda yang lembut gemalainya bermain cahaya lalu dikamarkan pada ruang sinema. Itulah implikasinya sinkronis, sebuah catatan perjalanan keranda duka seorang perakam gambar. Sesekali sinkronis ini membawa aku pada sketsa sketsa nostalgia yang tidak keterlaluan yang sedikit sebanyak menceriterakan tentang pelukis muda yang pernah berada di alam mimpi, seorang seni. Terimakasih, Jaja, Hatta Azam, Soffi, Norfazlina dan yang terlibat. Tahniah. Sinkronis adalah noir seni dan seni itu adalah bebas dalam sinkronis ini. Tahniah, sinkronis bebas dari ugutan formaliti kerana mempunyai tunjang maya.