Tuesday, May 5, 2009

MENUNGGU KATA DARI DINSMAN


Salam untuk semua. Saya telah ke persembahan teater monodrama ini pada 2hb Mei yang lalu, kerana hasilnya adalah dari Dinsman, tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Agaknya sudah lama saya mengidamkan Dinsman kembali berkarya seperti mana yang pernah saya nikmati sewaktu zaman remaja saya dahulu. Dahulu, saya pernah membaca seterusnya mempersembahkan hasil karya beliau iaitu ”Bukan Bunuh Diri”(BBD) 1974 dan ”Protes” 1972 pada tahun 1995 dan 1997; sekarang saya mendekati pemikiran terkini beliau iaitu ”Menunggu Kata Dari Tuhan”(MKDT) 2009. Terima kasih buat Pyanhabib kerana memaklumkan tentang pementasan ini. Saya sempat bersalaman dan berbual dengan Dinsman sebelum pementasan.

Pertama apabila tiba di auditorium, saya terkejut dengan pemaparan poster MKDT ini. Pelakon berjubah sedang bersimpuh sambil mendongak memohon doa. Jauh bersimpang dari firasat saya, yang mungkin sangkaan bahawa seorang lelaki moden berilmu yang memberontak ’mencari Tuhan’. Justeru itu, saya berkata dari dalam diri; Dinsman telah memberi kata kepada saya bahawa; ”kembalilah”. Sesiapa yang pernah faham BBD, pasti dapat mengakui bahawa MKDT adalah ’taubat’ Dinsman yang terakhir, mungkin. Saya bertafakur sebentar. Ditambah apabila statement secara terangan bahawa text ’Teater dari Hadis Nabi’ terpampang di dada poster.. saya bertafakur lagi sekali. Memang saya akui Dinsman yang saya kenali dahulu telah menemukan saya dengan jawapan yang selama ini saya cari yang terkandung dalam MKDT melalui BBD. MKDT dan BBD adalah monodrama Dinsman.

Memang BBD bukan MKDT, tetapi bagi saya secara peribadi; Dinsman bertanggungjawap (secara tidak rasmi) membajai pemikiran saya dengan fahaman wujudiah, eksistensialisma, absurdism semasa saya masih mengorak langkah sewaktu remaja dahulu. Bersama Cikgu Sharrif Shaary dan Cikgu Ahmad Omar dahulu, saya cuba mengupas ’BBD’ dan ’Protes’ siang dan malam, melihat pemikiran seorang antropologist bersoal tentang kewujudan Tuhan. Sehingga saya menolak sebahagian atheist yang cuba menyogok saya dengan pemikiran Soren Keikergard dan Marxist walau saya sesekali terjerumus dengan Jean Paul Sarte yang auranya masih saya rasakan sekarang..ampun. Mungkin semasa itu, saya ulang ’semasa itu’; saya adalah hasil anak pentas yang radikal memprotes formaliti yang digariskan dalam hidup. Sebagai anak pentas, berteater bagi saya bukanlah untuk jadi pelakon dan bukan gila glamour tetapi berteater adalah memahami naskah, melihat pemikiran dan menambahkan ilmu. Teater lebih suci/ luhur rohnya dari filem bergerak yang telah dimanipulasikan (digodam?) oleh kamera dan editing pada pendapat saya dari dahulu sehingga sekarang, pendirian saya tidak akan berganjak. Malahan kalau diberi pilihan, saya mahu kembali kepada teater. Saya harap Dinsman tidak akan ke filem, demi menjaga kesucian teater ini walaupun pada masa diskusi selepas persembahan ini ada penonton yang mencadangkan agar beliau turut ke filem. Kah kah kah. Walau bagaimanapun, filem tetap penting dalam berkongsi ilmu/ pendapat, kerjaya dan 'car-ma' saya. Saya suka filem,..juga. Fotografi adalah skill saya. Teater adalah ....

Berbalik soal MKDT ini, saya masih terbayangkan BBD kerana salah satu sebab ini ianya adalah kategori (atau genre) monodrama dan saya ’wujud’ atas dasar naskah naskah Dinsman. Mungkin dahulu dalam BBD, Dinsman masih lagi di ambang ’zaman pencarian’, masih teraba raba memahami kehidupan dan saya akui atas dasar kerabaan itulah saya juga menjadi teraba raba sebagai seorang remaja yang belum tentu arah kehidupan dan fahaman seni saya. Tetapi sekarang, Dinsman menyajikan saya dengan MKDT yang perlu saya tendang terajang Keikergard, Nietzsche dan Sarte dan lain lain dari Barat ke tepi dan mendekati Ka’ab bin Malik dan hadith Rasullullah,..insyaAllah. Watak Adam yang pernah saya hayati dahulu dalam BBD dan watak Ka’ab dalam MKDT tetap berbicara dari dalam diri. Bezanya Adam berbicara tentang Tuhan; memprovoke kewujudan, Ka’ab pula berbicara tentang dirinya sendiri yang gagal untuk pergi berperang bersama Rasullullah. Ka’ab rasa bersalah tentang dirinya yang beliau rasakan dayus, penakut dsb. Ka’ab lebih akur melihat kelemahan diri sendiri. Semasa itulah saya terus bertafakur, mengeluh, dan hampir menangis kerana Dinsman (bukan kerana Ka’ab). Sebak ini saya tahan semasa malam persembahan tersebut, dan saya rasakan bahawa Dinsman cuba merungkaikan keserabutan ’pencarian diri’ dan budaya ekistensialism yang menjadi mainan pemikiran saya selama ini; ditambah apabila dialog Ka’ab iaitu;”Aku tetap beriman dengan Allah. Aku tetap cinta kepada Allah. Cintaku kepada Rasullah tidak berkurangan walau sedikit pun. Aku tidak menyalahkan sesiapa. Aku tersilap waktu itu. Aku... aku menyesal, dan aku bertaubat. Aku mengharapkan keampunan dari Allah. Allah maha pengampun, maha penyayang.”.... Secara tidak langsung saya hampir menitiskan air mata pada malam itu, Dinsman telah ’mengajak’ saya ’kembali’. Ka’ab bukan Adam. Oleh kerana itu, tajuk penulisan saya ini adalah ”Menunggu Kata Dari Dinsman”. Memang apa yang ditulis itu hasilnya dari pengkarya, wajah dan jiwa pengkarya. Seorang Dinsman. Akhirnya saya ketemui kata kata dari Dinsman sekarang dan bukan Dinsman pada zaman bohemian dahulu.

Akhirkata, sekiranya dahulu saya pernah memegang watak Adam dalam BBD sehingga dinobatkan pelakon teater lelaki terbaik 1997 (semasa berumur 27 tahun).. tidak mustahil saya juga mampu memegang watak Ka’ab nanti insyaAllah walaupun di usia 40 ini dan bukan kerana award atau piala tetapi Ka’ab telah berjaya ’menjubahkan’ Adam yang teraba teraba tanpa arah. Kepada Dinsman, saya ingin memegang watak Ka’ab dan menghayati Islam dengan lebih kerana Adam telah mengajak saya mendekati eksistensialism. Ka’ab memberikan kekuatan, Adam hidup dalam kelemahan. Adam hidup dalam dosa dan ego; Ka’ab hidup dalam siksaan dan faham kelemahan diri. Adam sesat pemikiran tetapi Ka’ab menuju jalan yang diredai. Pada pendapat saya; fahami BBD dan kemudian baca MKDT, insyaAllah anda akan ketemui ’jalan’ itu.
----

Adam (BBD): ”.... sudah bertahun aku menungguMu, tapi kau tidak pernah memperdengarkan suaraMu pada ku... dan aku masih menantiMu..”

Ka’ab (MKDT):” Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah Ta’ala telah menyelamatkan aku disebabkan pengakuanku yang benar..”

----


Saya tahun 1995 ("Protes": karya Dinsman)

9 comments:

Anonymous said...

aidi,
bagus ulasan ni.
azizi

D'Rimba said...

Cukup bermakna pengisian jiwa Islam dalam dunia seni teater tanah air..........

Aidi Rahimi Ibrahim said...

alhamdullillah Ustaz Azizi, inilah apa sy rasakan yg sekarang..insyaAllah.

D'Rimba, sy masih cuba mengisi jiwa itu, insyaAllah dimudahkan.

Anonymous said...

penerapan nilai2 Islam itu penting skrg, karena kita dapat melihat budya barat baik disegi tuturkata, peradaban dan pemikiran bercanggah dgn nilai2 seorang muslim atu mlayu. bkn saya takmau terima barat, tetapi percakapan & penulisan, filem, ada teater org kita sudah menyimpang.

- Devil Slayer -

Aidi Rahimi Ibrahim said...

Mungkin, “freedom of expression” itu datangnya dari..Barat, dan kita ‘mendecok’ cara ini tanpa sedar selama ini.; maaf, saya masih cuba membaca perdebatan antara Iqbal dan Nietzsche. Masih cuba faham.

saya sedar kita perlu sedar.

amer zaman said...

membaca dinsman memang menggetar..

tapi sayang..kalaulah saya punya kesempatan hari itu..

Aidi Rahimi Ibrahim said...

amer zaman; sy banyak baca karya beliau semenjak dulu, malah 'Pulau Sadandi'(1977) pernah jadi rujukan teks sastera sekolah menengah saya dahulu.

sila datang ke bilik saya; klu nak baca 'Menunggu Kata Dari Tuhan' ini.

edolah said...

geng, apa lu masih ingat sama gua? lu punya kawan segelandangan dan berpaut atas semangat kesenikawanan dalam berteater di kota indera kayangan. Alhamdulillah gua sekarang banyak mengakrabi seniman bernama dinsman, terutama dalam PAKSI. banyak juga menggali dan mendalami pemikiran beliau sekarang...

p/s: akan menyusul selepas MKDT ialah Teater Nabi Yusof, buah tangan dinsman

Aidi Rahimi Ibrahim said...

edolah itu adalah Shukri kawan yang membina monumen kesenikawanan bersama dari perca perca sulam silam teater kota Indera Kayangan. Alhamdullillah, insyaAllah aku 'kembali'. Gua join lu, insyaAllah.