Salam untuk semua,
Di bawah, adalah hasil ilustrasi untuk sajak "Balaci" (Shukri Abdullah 2003). Seterusnya, saya juga menceritakan serba sedikit 'proses' penghasilan ilustrasi lukisan ini pada posting kali ini.
Acrylic on Illustration board (A4 size)
BALACI
belum dikerah sudah sedia mematuk
bak tedung
belum disuruh sudah sedia mengangguk
bak belatuk
belum dipalu sudah sedia menari
bak kenari
lebih sudu daripada kuah lebih ranting daripada buah
lebih kahak daripada ludah
bertalu-talu peluru pujian dihamburkan itulah yang kerap
kali dilaung-laungkan kerana mereka juak-juak paling
hadapan siaga pertahankan kebatilan demi laparkan pangkat
dan kedudukan
sudah sedia berpencak menyusun gerak
sudah sedia bergendang mengisytihar perang
dengan sarat janji menyongsong kepalsuan
dengan sifar akal menyongsang kebenaran
mudah kerja mereka
– mengiya setiap tingkah
menghilai setiap dekah
menghitung setiap langkah
agar sederap senada tidak canggung irama
yang kerap kali diulang-ulang dan didodoikan!
SHUKRI ABDULLAH
Dewan Sastera, Mac 2003
lakaran awal Balaci (A4 size)
Balaci digambarkan dalam bentuk ala-ekspressionis (A4 size). Saya tidak berpuashati, nampak terlalu remeh, kasar dan kurang jujur dalam menghasilkan bentuk begini (bagi saya).. konon-kononnya menghasilkan sesuatu berdasarkan amarah cipan yang membara, menentang form atau menjadi anti-konvensional baik secara literal atau pemikiran dalam visual. Tambah jijik bila sajak yang kasar dari Shukri ini turut 'sync' atau tele dengan karya saya. Saya hasilkan dari pemikiran saya, Shukri dari kekasaran lenggok bahasanya. Kami berbeza. Saya baca sajak dia, hasil visual adalah saya.. tapi terpulang pada beliau untuk pilih mana satu.
Lakaran permulaan Balaci
(mini sketch book size). Nampak terlalu konvensional, seolah seperti ilustrasi murahan pada novel-novel 'pop-kundang' kebanyakkan.
Pemahaman 'Balaci' dari pandangan saya dalam penghasilan ilustrasi ini;-
Semasa membaca sajak ini, saya amat faham bahawa Shukri menulis berdasarkan politik semasa, atau mungkin berdasarkan insiden kecil/ besar yang sedang melanda negara atau dunia ini. Secara dasar, atau basic kita dapat melihat objek seperti pistol, topeng, tali leher, wang dan sebagainya; itu adalah asas.. mudah faham. Tetapi, setelah didalami sedalam-dalamnya, balaci juga adalah pemikiran ciput dari para manusia yang sering menjadi 'pengikut' pada sesetengah ajaran/ ism atau doktrin. Sebab itu dalam hasil akhir ilustrasi saya, saya meletak-kan 'bayang' yang berada di belakang subject matter ber-uniform tersebut. Sungguh pun begitu, pada 'bayang' terdapat tali yang tersangkut.. ini adalah menampakkan bahawa 'bayang' juga dikawal oleh puppet master yang lain (yang lebih besar). Jadi pada saya, balaci juga membawa makna 'pengikut', pembawa fahaman, dan bukan sekadar 'budak suruhan' semata-mata. Balaci bermakna bukan manusia bebas, manusia yang telah di-robotkan pemikiran, pentaksub doktrin dan adalah 'patung-patung' yang digerakkan oleh 'patung-patung' lain.. itulah 'balaci' pada pandangan saya dalam menghasilkan ilustrasi ini.
No comments:
Post a Comment