Thursday, July 15, 2010

Kisah 'Cinta' lima buah Filem Pendek Melayu



Salam untuk semua,


Saya baru pulang menonton lima buah filem pendek tentang ‘cinta’ dari para pengkarya filem muda Tanah Melayu & Bumiputera. Ulasan berikut (secara ringkas) adalah pandangan peribadi saya dan ditegah menjadi rujukan ilmiah. Lagipun saya lepas gian tulis pasai filem, pasai dah lama tak menulis pasai filem, asyik dok melukih saja.


Takkan Melayu Hilang Di Dunia


Bagi saya, tajuknya cukup sudah untuk mengetahui akan isi perut filem ini. Ditambah dengan hadirnya filem ini mungkin 50 tahun lagi Melayu tak akan hilang. Filem ini mungkin akan di-arkib-kan untuk tontonan generasi akan datang (harapan yang tinggi). Kerana adanya filem ini, mungkin sekali lagi ‘kejutan’ untuk tidak lupa bahawa Melayu itu ada dan Melayu yang pembikinnya juga Melayu, ‘menyemai’ Melayu itu secara terang-terangannya di skrin. Itu motif yang paling utama saya rasakan, jangan berdolak dalih lah, bro. Sesekali mengingatkan saya tentang filem Aziz M.Osman “XXray 2”..;-) dan ada sebuah teater mengenai Hang Tuah di zaman moden (saya lupa dah..isskk..).. tetapi filem pendek ini digarapkan dalam jangkamasa 20 minit (kira panjang juga lah). Lakonan Hang Tuah yang diletakkan dalam khalayak ramai mungkin dilakukan secara terancang, ini menarik, khalayak (sebenar) ada yang tercengang melihat ‘Melayu asli’ di tengah2 Bukit Bintang dsb (ada unsur2 “happening” (teater) di situ). Tahniah, Melayu.


3,2,1


Pada mulanya saya menyangkakan ini adalah pengaruh cipan dari drama penyiasatan bersiri “Numb3rs” dalam slot TV Astro. Sungguh pun ada yang menganggapnya PSA etc.. tetapi bagi saya filem sekiranya dipandang dari sudut “cinema-verite” itu, mungkin membawa kita pada openness untuk mendakwa bahawa Mockumentary juga adalah ‘filem’, malah “Man with a Moving Camera” juga adalah filem dan bukan hanya sekadar dokumentari. Malah ada yang menganggap “Ashes & Snow” juga adalah dokumentari, tetapi tidak bagi saya selagi masih ada unsur2 staging ianya adalah filem (feature, fiction etc.). Pada pandangan saya, sekiranya hendak menyamakan hasil ini dengan ‘Yasminism’ mungkin hanya 10% sahaja kerana terdapat sedikit ‘drama’ yang disulamkan, ditambah bila terangan menyebut “mak”. Tahniah, filem ini membawa hasrat iaitu SATU Malaysia dan bukankah itu apa yang para ahli politik kita mahukan.. kesemua bangsa berSATU atau mahu berpecah belah?... Ada masanya anda mengampu, ada masanya anda membangkang.. anda “indie” kan..;-) Masing2 punya pemilihan corak persembahan.. persetankan kalau mahu meletakkan sepuluh Rukun sekali pun, ini filem anda… wajah anda.. wajah anda. Tahniah.


Rumah Ares


Hmm.. filem Ares adalah diri Ares. Sekurang-kurangnya, itulah mukadimah awal saya (*sambil mengerut dahi). Saya secara peribadi mungkin melihat Ares seorang yang rebel..;-). Saya telah menyaksikan karya beliau Nausea.. itu pun rebel. Atau mungkin ada percubaan untuk me-rebel-kan filem itu. “It’s complicated to mention”, actually. Mungkin ada saya nampak (pandangan saya), wujudnya dualism watak atau sekurang-kurangnya 10% watak Travis Bickle yang ala-Melayu. Dalam pada masa yang sama unsur-unsur desperado seorang manusia yang berkonflik dengan memahami hidup atau hidup ini memang konflik baginya. Baik cara watak-watak berbual ‘bersantai’, ‘ber-psychedelic’, sebelum ajal, menampakkan desperado itu. Minimaslist (set, props, lokasi etc.) mungkin, tetapi persoalannya cukup kronik, tunggu masa nak mampuih.. bunuh diri, bye bye.. tetapi dalam masa mahu menuju ‘mahu mati’ itu, walaupun santai itu masih situasi subtle tetapi ‘keputusan’ perlu dibuat segera. Human Choice atau will adalah keyword dalam filem ini dan ini mengingatkan saya tentang falsafah eksistensi Jean Paul Sarte.. peh.. ini sudah melampau agaknya, tak tertulis sepuluh mukasurat pun, mungkin lebih. Tetapi itulah yang saya perhatikan dalam karya filem pendek ini, tidak kiralah inspirasi dari kejadian bunuh diri mana pun pengarahnya cedok.. Tahniah Ikhares, till death do us part…;-)


Walid


Pertama, saya tertarik dengan lakonan pemuda buta yang memang ‘natural’, seperti bukan dibuat-buat. Malahan saya jarang dapat melihat lakonan yang baik sebegini dari kawan-kawan yang lain, tahniah. Watak ayah juga natural dan bukan dibuat2 untuk tujuan lakonan (mungkin kerana professional). Bila tanya saya mungkin retorik “short n sweet”.. tapi menonton filem ini macam sebuah kisah cinta yang hanya berlaku sekelip mata, kemudian hilang, amat zalim, brutal. Terus terang saya katakan, Quentin Tarantino mungkin tidak mampu menghasilkan scene yang sezalim babak akhir filem ini, semasa pemuda meninggalkan ayahnya secara selamba.. blah begitu saja bila nampak gadis melintas, cuba mengejar. Memang cakap pepatah/ falsafah retorik “kacang lupakan kulit” tapi dalam hal ini pada saya adalah ‘Mata Celik lebih Buta dari Mata Buta’ sampai lupa segala kemanisan yang di-bakti-kan sebelum ini, dikaburi dengan budaya material/ keduniaan. Jujurnya saya menjadi benci pada watak pemuda selepas dia celik.. Tahniah. ‘Yasminism’ & Lakonan, especially..;-)


Perempuan, Hantu dan Skandal


Dalam menonton sesebuah filem, kadang-kadang saya memerhatikan icon yang diadun dalam sesebuah filem. Icon itu kadang-kadang bertukar menjadi sebuah memorable images yang mungkin teringang-ngiang di kepala otak kita. Icon itu datang dari akbar, semua orang tahu, kan. Mungkin ada masanya imej itu datang dari sumber yang lain hingga menjadi sebuah iconic still photo yang dilulang-ulang iaitu Che Gueavara oleh Alberto Korda. Ghost photography misalnya mungkin menjadi salah satu dari inspirasi/ influence filem ini. Dan imej (ikon) itu diulang kembali dalam filem ini. Ini terjadi dalam filem ini, syabas, rakyat Malaysia tak leh lupa ‘perempuan’ itu. Seperkara lagi, saya nampak unsur2 gothic dari filem2 F.W. Murnau yang wujud dalam filem ini. Gothic. Watak Hantu Tanah mungkin tidak perlu di-bangkit-kan dari tanah kerana pengucapan dialog dan lakonan sudah cukup jelas, terang dan meyakinkan. Saya tidak bersetuju sekiranya watak Hantu Angin dijelmakan dalam physical form kerana dialog dalam filem ini juga cukup meyakinkan bahawa watak itu wujud, sekiranya diwujudkan, maka hilanglah value hantu angin itu, kan. Mother Nature. Shot akhir, semasa reporter tu kena hentam dengan boom, saya fahamkan bahawa ini hanya filem.. fiction. Walaupun ‘air-con’ kuasa kuda amat kuat dalam bilik tayangan itu semasa membuat ucapan penggulungan penayangan pada masa itu, saya tidak akan menyamakan pembuat filem ini dengan mana pembuat filem indie yang lain atau mana-mana ‘kroni’.. pembuat filem ini pada saya lebih berbeza pemikirannya, pengkarya ini ada identitinya sendiri. Tahniah.



Menyentuh soal index imej HITAM PUTIH (unsur2 negatif (bad indexes/ connotation) dsb. terpulang-lah) pada saya ianya adalah ‘warna’ ‘sejarah’ seperti sentuhan klasik Bresson, Halsman, Nagy, Ansel Adams etc. Saya lebih terfokus melihat imej hitam putih, kerana imej berwarna terlalu banyak manipulasinya oleh ‘morfin’ warna yang kadang-kadang hilang punca (ex. HDR dsb. dalam still photo). Imej hitam putih (baik imej still atau movie) menampakkan kejelasan watak sama seperti kita melakar/ melukis menggunakan pensil atau charcoal. Ada contrast dan tone.. monotone..;-)


Bagi saya, kelima2 filem ini adalah filem “cinta” dan bukannya filem cinta yang stereotype di mana pelakonnya tak pandai berlakon (kayu) atau ‘cinta morfin’ psychedelic melodramatic plastic meruntun jiwa jiwang, saudagar mimpi seperti yang bertaburan, (kebanyakkan) melangau di dalam “industri mainstream”. Kelima-lima pengarah ini adalah generasi baru yang bakal mewarnai persada perfileman di Malaysia nanti yang mengungkap persoalan cinta pada bangsa, Negara, keadilan dan kekeluargaan… peh!..;-).. teruskan, bro-bro & sis-sis, anda bebas berkarya, walaupun ‘filem’ masih dalam pancaran skrin kotak empat segi… ;-)


SILA KE SITUS INI untuk KRITIKAN Terpeinchi EN HASSAN MUTHALIB: Ridhwan


Wednesday, June 30, 2010

BALACI sebelum jadi Balaci

Salam untuk semua,

Di bawah, adalah hasil ilustrasi untuk sajak "Balaci" (Shukri Abdullah 2003). Seterusnya, saya juga menceritakan serba sedikit 'proses' penghasilan ilustrasi lukisan ini pada posting kali ini.

Acrylic on Illustration board (A4 size)

BALACI

belum dikerah sudah sedia mematuk

bak tedung

belum disuruh sudah sedia mengangguk

bak belatuk

belum dipalu sudah sedia menari

bak kenari

lebih sudu daripada kuah lebih ranting daripada buah

lebih kahak daripada ludah

bertalu-talu peluru pujian dihamburkan itulah yang kerap

kali dilaung-laungkan kerana mereka juak-juak paling

hadapan siaga pertahankan kebatilan demi laparkan pangkat

dan kedudukan

sudah sedia berpencak menyusun gerak

sudah sedia bergendang mengisytihar perang

dengan sarat janji menyongsong kepalsuan

dengan sifar akal menyongsang kebenaran

mudah kerja mereka

– mengiya setiap tingkah

menghilai setiap dekah

menghitung setiap langkah

agar sederap senada tidak canggung irama

yang kerap kali diulang-ulang dan didodoikan!


SHUKRI ABDULLAH

Dewan Sastera, Mac 2003


lakaran awal Balaci (A4 size)

Balaci digambarkan dalam bentuk ala-ekspressionis (A4 size). Saya tidak berpuashati, nampak terlalu remeh, kasar dan kurang jujur dalam menghasilkan bentuk begini (bagi saya).. konon-kononnya menghasilkan sesuatu berdasarkan amarah cipan yang membara, menentang form atau menjadi anti-konvensional baik secara literal atau pemikiran dalam visual. Tambah jijik bila sajak yang kasar dari Shukri ini turut 'sync' atau tele dengan karya saya. Saya hasilkan dari pemikiran saya, Shukri dari kekasaran lenggok bahasanya. Kami berbeza. Saya baca sajak dia, hasil visual adalah saya.. tapi terpulang pada beliau untuk pilih mana satu.



Lakaran permulaan Balaci (mini sketch book size). Nampak terlalu konvensional, seolah seperti ilustrasi murahan pada novel-novel 'pop-kundang' kebanyakkan.


Pemahaman 'Balaci' dari pandangan saya dalam penghasilan ilustrasi ini;-

Semasa membaca sajak ini, saya amat faham bahawa Shukri menulis berdasarkan politik semasa, atau mungkin berdasarkan insiden kecil/ besar yang sedang melanda negara atau dunia ini. Secara dasar, atau basic kita dapat melihat objek seperti pistol, topeng, tali leher, wang dan sebagainya; itu adalah asas.. mudah faham. Tetapi, setelah didalami sedalam-dalamnya, balaci juga adalah pemikiran ciput dari para manusia yang sering menjadi 'pengikut' pada sesetengah ajaran/ ism atau doktrin. Sebab itu dalam hasil akhir ilustrasi saya, saya meletak-kan 'bayang' yang berada di belakang subject matter ber-uniform tersebut. Sungguh pun begitu, pada 'bayang' terdapat tali yang tersangkut.. ini adalah menampakkan bahawa 'bayang' juga dikawal oleh puppet master yang lain (yang lebih besar). Jadi pada saya, balaci juga membawa makna 'pengikut', pembawa fahaman, dan bukan sekadar 'budak suruhan' semata-mata. Balaci bermakna bukan manusia bebas, manusia yang telah di-robotkan pemikiran, pentaksub doktrin dan adalah 'patung-patung' yang digerakkan oleh 'patung-patung' lain.. itulah 'balaci' pada pandangan saya dalam menghasilkan ilustrasi ini.


Monday, June 28, 2010

Puisi 1996 & Foto 2010


Tiada yang Indah

Tiada yang indah....
kerana yang indah itu
tidak sahih
atau tidak pasti...
Di mana yang Indah
mungkin tiada yang Endah .

Aidi Rahimi Ibrahim
Kuala Lumpur
21hb Mei 1996

..................//...................

beautiful words by Wani Ardy here

Photo Description:
f/5.6 1/200 (ISO 200) – Manual Mode
Location: Pudu Prison Wall, Kuala Lumpur
Time: 5.24 p.m. Date: 27th June 2010
Camera: Canon EOS 350D
Edited Photo (tone & contrast)

Wednesday, June 23, 2010

SHAH ALAM ku


Salam Shah Alam untuk semua,


("Shah Alam 2040?" 91cm x 91cm)

Lukisan di atas adalah lukisan yang paling jijik pernah saya hasilkan, tapi entah macamana banyak orang/ kawan-kawan yang ‘berkenan’ tengok termasuk isteri saya sendiri hingga minta gantung di rumah. Tidak saya rancang dalam melakar atau plan dalam kepala saya, terus jadi tanpa haram sedikit perancangan pun. Saya tinggal sebentar, buat kerja-kerja lain, kadang-kadang tambah sikit, tenyeh sikit.. baru semalam saya last touch-up, dan nekad tak akan saya sentuh lagi berus saya pada kanvas itu.. cukup. Tidak ada perancangan, memang jelas tidak ada perancangan (literally) baik dari segi kedudukan bangunan-bangunan dalam ruang kanvas itu, sama macam tempat saya duduki sekarang. Seolah-olah tidak ada perancangan hingga habis bukit bukau, hijau digondol dan itulah hakikatnya walau pentadbiran baru mengambil alih pun, haram macam tak berfungsi langsung, hutan hijau masih dinoda. Kemajuan diukur dari kepesatan dan tumbuh mekar bangunan-bangunan baru. Roboh yang lama, buat yang baru, bagus… tasik dikambus, hutan ditebas, unggas dihalau,.. ular masuk rumah, monyet….;-) Maaf, saya tak pandai berbahasa puitis.. visual ini saya gambarkan dengan penuh rasa jijik, sesak. Saya membayangkan dalam 30 atau 40 tahun lagi, sekiranya Shah Alam (pentadbiran) masih lagi angkuh bina lagi bangunan-bangunan, menceroboh hutan-hutan hijau di Shah Alam atau Selangor terutamanya… mungkin lukisan saya ini agak bombastic, exaggerate, over sangat... langit merah, bangunan-bangunan berterabur, serabut.. yg tinggal di celah-celah kota Shah Alam adalah masjid negeri.. bulan retak (pengaruh dari Filem ”Time Machine”).. sesak nafas bila mengadap lukisan ini. Hanya dengan visual kaku ini dapat saya luahkan.


("pre- Shah Alam" 46cm x 31cm)

Lukisan kecil di atas pula dihasilkan lebih awal dari itu. Saya membayangkan Shah Alam pada zaman-zaman selepas Paleolitik setelah manusia hidup dan mungkin Sungai Renggam atau sebelum negara ini dicatukan jajahan takluk masing-masing. Manusia bebas menikmati hijau, kabus di pagi hari dan bertemankan unggas-unggas rimba. Pohon yang mati akan terganti dengan pohon-pohon yang baru. Tumbuhan menjalar akan hidup di atas pepohon lama, seolah seperti bangunan/ runtuhan lama yang ditumbuhi lumut dan daun-daun renek. Masih hijau, masih subur dan air masih jernih di tasik dan sungai-sungai. Lukisan ini bersaiz kecil, jauh lebih kecil dari karya 'zaman masa hadapan’ di atas. Lukisan ini walaupun bersaiz 'mini’ adalah antara yang paling saya sayang.


Mungkin pada hujung tahun ini, akan diadakan pameran lukisan-lukisan saya; saya akan menjual lukisan pertama tadi dengan harga yang amat murah, lebih murah dari nilai kamera saya dan harap orang dapat bargain dengan lebih rendah..;-).. untuk yang berminat nak beli lukisan pertama di atas, sila beritahu saya.. harga amat murah,.. sakit mata jika masih ada dalam bilik saya, jgn lupa bawak lori..;-)... lukisan kedua not for sale ..;-)


p/s: Baca ini kalau nak faham lebih tentang 'kesakitan' Cameron Highland.

p/s: mungkin ada yang akan kata; "Wei, balik kampung-la, orang seni!!"... saya akan jawap "kampung??.. kampung saya bandar"..;-)

p/s: cantik sungguh Bandar-bandar ini… ;-)


Tuesday, June 22, 2010

Illustrasi Lukisan: Jerkah Panggung


(Acrylic on Illustration Board - A4 size-)

JERKAH PANGGUNG

Dalam diam sorot lampu terpadam

menyembunyikan kenyataan

membiar kebenaran dan kepalsuan

saling bergumpal di tengah lapangan

jerkah tingkah meningkah

sarat mengandung dendam;

jerkah satu:

“akulah kebenaran yang disingkirkan

aku dituduh maling –

mencuri kebebasan

di rumahku sendiri, dan sekarang aku berjuang

menentang kezaliman sebelum merebut kembali

maruah peribadi yang hilang.”

jerkah dua:

“akulah kepalsuan atau kebatilan yang dimartabatkan

aku disanjung dipuja – menjadi wira cuma dalam

sekelip mata, dan sekarang siapa menentang

akan segera kuhapuskan demi menagih penghormatan.”

Pertempuran kian seru

kerongkong panggung kian perit ditusuk kegelapan

dan bisu penonton pun meraja segenap ruang.

Dalam kenyataan yang masih diperdebatkan

lampu kembali dinyalakan

sedang peristiwa demi peristiwa

menerawang lalu hinggap di bumbung panggung

sebelum diserap mahing udara yang memualkan.


SHUKRI ABDULLAH

Dewan Sastera, Mac 2003



PUDU dan lain lain



Salam untuk semua,


Barangkali, agak ramai yang terkejut dengan perobohan Penjara Pudu baru2 ini. Bagi saya, saya tidak terperanjat dengan soal2 begini tambahan bila menjadi seorang warganegara yang sentiasa tersenyum dan sudah lali dengan ‘budaya’ meroboh bangunan2 klasik ini. Bercakap soal ‘memperjuangkan bangunan2 lama’ ini, sebenarnya saya telah lama ‘memperjuangkan’-nya…peh!..tegar.... semenjak dari tingkatan lima lagi. Pada waktu itu (kalau tak silap 1986 – 87 gitu), ada sebuah panggung wayang lama di tempat saya mahu dirobohkan, sekarang telah lenyap langsung. Saya masih ingat, saya deraf sebuah surat (menggunakan mesin taip jenis Olympia) untuk dihantar pada pihak 'berkuasa itu'. Selepas itu saya cuba mendapatkan beberapa petisyen untuk menghalang perobohan itu. Dalam proses ‘berjuang’ tersebut, ada pihak yang ‘perli’ saya menyatakan saya memperjuangkan ‘maksiat’ kerana panggung selalunya tempat orang beromen… keh keh..;-) Walau bagaimana pun, surat & petisyen (dari budak sekolah jer) itu ‘mungkin’ sampai (tidak mahu tuduh2-lah).. mungkin sampai, sebab dah diserahkan by hand. Sempat juga alasan yang diberi oleh pihak2 tertentu bahawa struktur bangunan itu sudah tidak kukuh dan banyak mat2 pit (drug addicts) yang masuk menjalankan aktiviti depa. Jadi tidak hairanlah kalau perobohan Penjara Pudu itu berbagai ‘alasan’ yang ‘kukuh’ diberikan oleh pihak2 tertentu. Semasa saya cuba ‘menghentikan’ perobohan panggung wayang lama itu, apa yang terdetik dari dalam saya adalah nilai estetik bangunan itu, design-nya, keunikkan bangunan itu. Pada masa itu saya (hingga sekarang) saya masih terpegun melihat bangunan lama ditambah bila tumbuhnya kulat2 dan daun hijau menjalar pada tembok dindingnya, klassik… indah bukan?..hmmm….;-) Seterusnya pada tahun.. 1990an, sebuah lagi bangunan lama telah dirobohkan, bangunan itu terletak di pinggir Bandar Kuala Lumpur,.. masihkah anda ingat dengan bangunan Rumah Anak Alam bersebelahan dengan KBN (Kompleks Budaya Negara). Saya masih ingat bertandang ke rumah/ banglo usang tersebut bersama sdra. Shukri Abdullah semasa Himpunan Penyair Muda Malaysia 1988, kami bermalam di KBN, dan saya setiap pagi akan berkunjung ke rumah itu untuk melihat karya2 lukisan & arca hasil Anak2 Alam. Kini, rumah itu telah lenyap. Beberapa tahun yang lepas sebuah lagi ‘bangunan’ telah lenyap dari pandangan, tidak lain tidak bukan adalah rumah arwah datuk saya di kampung halaman. Saya masih ingat, semenjak kecil kami sering bertandang ke rumah pusaka itu, bermain masak2, guli, batu tujuh di hadapan beranda… indah bukan memori di ruang/ halaman rumah itu..;-).. akhirnya rumah itu dijual dan akhirnya dirobohkan.


Berbalik pada soal Penjara Pudu, kalau tanya saya secara peribadi.. yes, saya pernah menyusuri jalan Penjara Pudu setiap kali mahu ke tempat kerja (sebagai seorang graphic designer) di Jalan Pudu pada tahun 1991 hingga 1992.. pagi saya melihatnya sekitar pukul 8.30 dan petang semasa nak balik pukul 5.30 petang dari dalam bas mini warna biru hampir satu tahun setiap hari bekerja. Pernah semasa melalui jalan itu dengan motorsikal (Honda-cup pinjam member), suatu ketika telah rosak (terhenti.. pet, pet, pet!!, plug problem.. keh keh..) betul2 tepi tembok Penjara Pudu itu, dan semasa menaiki bas mini juga, saya pernah melihat kejadian eksiden ngeri di tepi jalan berhadapan Penjara Pudu itu di mana seorang lelaki penunggang motorsikal telah berkecai kepala digilis lori besar… hmm..;-) Dahulu (ntah sekarang masih?) ada sebuah pejabat pos yang berdekatan penjara itu, saya pernah pergi beli setem & hantar bungkusan di situ, saya sempat memerhati tembok penjara itu (yg pada masa itu masih lagi beroperasi) dengan lama, sambil memikir nasib2 ‘orang’2 yang berada di dalamnya, sesekali terdengar bunyi raungan 'penghuni'-nya. Bukan masa untuk ber-emo, kalau nak baca sajak emo, masuk ruang PakCik Tua nih, sajak dia best...;-) Setiap satu ruang yang kita duduki, lalui, tatapi akan meninggalkan memori, terkesan dalam mainan minda, jiwa kita tapi siapalah kita, kan… tebang pokok pun kita ‘terasa’, roboh bangunan pun kita ‘terasa’… aku dah lali.. ;-)


selamat bersubuh, wasallam..;-)



p/s: ada pula yg mungkin akan kata: "Wei, hangpa orang seni memang anti-establishment!!"... dan aku akan jawap "Poodahhh!!!".....;-)



Monday, June 14, 2010

Melukis dari Puisi

Salam untuk semua,

Semenjak mendalami kata-kata dari sajak Shukri saya banyak dapat memahami perkataan-perkataan dalam sajak beliau. Inilah satu nikmat yang tiada tolok bandingnya dalam penghayatan demi men-zahir-kan sesebuah ilustrasi/ lukisan untuk tujuan buku puisi antologinya. Perkataan-perkataan seperti "zulmat", "kunarpa", "cipratan", "mesiu", "oknum", "pidana", dan sebagainya adalah satu nikmat untuk saya fahami. Saya mengaku, saya bukan pakar bahasa yang mahir arif tegar seperti sdra. Shukri. Kadang-kadang, berjam-jam saya membaca sajak beliau untuk memperolehi visual di minda saya sebelum dilakar (sketch). Kadang meng-google dan menyelongkar dari kamus-kamus dan buku-buku bahasa untuk mencari makna perkataan itu, tetapi akhirnya terpaksa saya bertanya kembali kepada sipenulis kerana dia lebih memahami/ arif apa yang dituliskan, dan saya akan lebih berhati-hati apabila melukis dari kata-kata beliau. Di bawah adalah lakaran awal (sketch) sebelum dilukis semula pada illustration board dari sajak beliau bertajuk “Cerita Perang Dari Lidah Nasar”.

sketsa dilakar pada 14/6/2010 (Pen on 120 gsm Paper- A4-)

__________________________________________

Up - dated on 17th June 2010:-

Hasil yg telah siap pada 16/6/2010 (Acrylic on Illustration Board -A4-)